17 December 2010

Al Kisah Jambatan Emas Johor


1) Perdana Menteri ke 4 iaitu Tun Dr. Mahathir Mohammad di akhir tempoh perkhidmatannya dengan beraninya telah bersetuju untuk menjalankan projek 'jambatan bengkok' bagi menggantikan bahagian Tambak Johor di sebelah perairan Malaysia.



2) Mengikut usul itu, Tambak Johor di sebelah Singapura akan kekal. Singapura telah sejak berpuluh tahun dahulu membangkang keras sebarang usaha mahupun cadangan untuk merobohkan keseluruhan Tambak Johor bagi digantikan dengan sebuah jambatan baru yang lebih luas, tinggi dan tidak menyekat aliran air.

3) Mengapa Singapura begitu takut dengan idea Dr. Mahathir?

4) Pada persepsi Singapura, meruntuhkan Tambak Johor walaupun di bahagian Johor sekalipun adalah dipercayai akan membawa 'kemudaratan' yang cukup besar kepada mereka.

5) Tambak Johor yang dibina British itu telah menyebabkan adanya sekatan laluan bagi sebarang pergerakan kapal kecil mahupun besar.

6) Seandainya separuh daripada Tambak Johor diruntuhkan dan digantikan dengan sebuah jambatan baru yang akan bercantum kembali di bahagian tambak di sebelah Singapura maka laluan Selat Tebrau akan 'terbuka' dan 'bersedia' untuk dilalui oleh kapal-kapal perdagangan.




7) Ekonomi Singapura yang terkenal sebagai pusat pelabuhan antarabangsa akan tergugat. Kapal-kapal besar yang melalui Selat Melaka dan ingin menuju ke Laut Cina Selatan akan dapat memendekkan tempoh perjalanan dengan mengambil 'jalan pintas' di Selat Tebrau tanpa perlu mengelilingi pulau Singapura yang kecil itu.

 

8) Dr. Mahathir melihat bahawa 'pemotongan Tambak Johor' itu akan menguntungkan ekonomi Malaysia dengan berkembangnya aktiviti-aktiviti di Pelabuhan Pasir Gudang dan juga di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).




9) Jambatan juga akan mengurangkan pencemaran di Selat Tebrau yang terbit akibat daripada mendakan kekotoran di bahagian kiri dan kanan Tambak Johor dek pergerakan semulajadi air laut yang tersekat dan terberhenti secara paksa.

10) Malangnya, Perdana Menteri ke 5 iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi di pertengahan 2006 telah mengejutkan satu Malaysia dengan keputusannya untuk menamatkan projek jambatan bengkok dan mengumumkan bahawa tiada sebarang jambatan baru akan dibina. Alasan beliau ialah Singapura tidak merestui projek itu dan rakyat Johor sendiri tidak menyokong pembinaannya.

11) Tun Abdullah sehingga ke hari ini masih gagal meminta maaf kepada Sultan Johor khasnya dan rakyat Johor amnya di atas kata-kata 'tipu' yang pernah dikeluarkannya itu.


12) Sultan Johor sewaktu merasmikan projek koridor selatan (kini dikenali sebagai Iskandar Malaysia) beberapa bulan selepas Tun Abdullah 'menghentikan' projek jambatan bengkok telah bertitah bahawa Baginda mahukan Tambak Johor diruntuhkan kerana menyifatkannya sebagai tanda 'tipu helah' penjajah yang masih kekal dan perlunya perairan Selat tebrau menjadi lebih bersih dan indah.

13) Perdana Menteri ke 6 iaitu Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak seakan mengambil jalan tengah. Bagi menjaga hati Singapura , Malaysia bersetuju untuk mengekalkan Tambak Johor tetapi akan diadakan projek membina jambatan ke 3 bagi menghubungkan dua negara itu.

14) Seperti dijangka, pihak Singapura menyokong usul jambatan ke 3 itu dengan penuh kegembiraan dan kelegaan. Yang penting, Selat Tebrau tetap tidak boleh dilalui kapal-kapal perdagangan !

15) Akhirnya pada 18 Jun, 2009, Tuanku Sultan Johor melalui Tengku Mahkota Johor sewaktu merasmikan Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor telah bertitah bahawa Baginda tidak berkenan dengan sebarang usul untuk membina jambatan ke 3.




16) Tuanku Sultan Johor semestinya mempunyai sebab tersendiri mengapa Baginda tidak merestui idea yang pada dasarnya itu telah dipersetujui oleh Mohd. Najib dan juga Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.



17) Perdana Menteri pertama Singapura iaitu Lee Kuan Yew (bapa Hsien Loong) yang terkenal sebagai seorang strategis yang hebat sebaik sahaja adanya persetujuan dasar di antara dua Perdana Menteri telah cuba menunjukkan 'budi bahasa' dengan melakukan lawatan ke Malaysia sehingga disambut bagaikan tokoh ulung dunia di beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Perak dan Pahang.



18) Sultan Johor telah bertitah dan semestinya di belakang baginda adalah kira-kira 3 juta orang rakyat Johor Darul Ta'zim. Kita juga yakin, majoriti rakyat Malaysia juga akan menyokong idea jambatan bengkok yang digagaskan Dr. Mahathir itu kiranya mereka faham akan 'strategi ekonomi' yang cuba digerakkan Bapa Pemodenan Malaysia itu.






19) Tun Abdullah telah bersikap terlalu lembut dan baik kepada Singapura. Malangnya Singapura tetap berkeras mahu 'merebut' Pulau Batu Putih daripada terus menjadi milik Johor. Akhirnya, kita hilang peluang memakmurkan ekonomi negara sendiri dan Singapura pula bermegah 'merampas' tanah yang asal-usulnya adalah milik Kesultanan Johor itu.


 
p/s : this is not the blog owner's original post.
p/s : Daulat Tuanku ! Daulat Tuanku ! Daulat Tuanku !

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...