08 June 2012

Kelebihan dan kebaikan posisi dalam Solat



Rahsia disebalik gerakan otot - otot semasa Solat

Cuba kita kaji pergerakan otot-otot kita ketika solat. Secara kasar, pada mula kita berdiri tegak ( qiyam ) kemudian angkat kedua tangan bertakbir dan letakkan tangan di atas pusat - kita telah membesarkan rongga dada kita manakala paru-paru akan terasa luas serta menggerakkan otot di kedua belah tangan. 
Ketika ruku' dengan badan membongkok ke depan dan kedua tangan di atas kepala lutut dan punggung mendatar ( parallel to the ground ) sekaligus ianya menggerakkan ruas-ruas tulang punggung, tulang leher, tulang pinggang dan tulang tungkin.



Waktu sujud pula, seluruh berat badan terpikul sepenuhnya di atas otot-otot kedua-dua tangan, kaki.dada, perut, punggung, leher dan otot-otot kaki. Lihat sahaja pada waktu sujud ini berapa banyak otot dan persendian yang kita gerakkan. Setelah itu kita bangkit dari sujud. Kita duduk, kemudian kita sujud lagi dan selepas itu kita berdiri kembali. Dalam gerak badan kali ini kita telah secara automatik menggerakkan sejumlah besar otot-otot di dada , bahu, lengan, perut, punggung, peha, kaki bahagian bawahan lain-lain otot lagi.



Selain dari itu kita juga melakukan dua macam duduk - pertama duduk antara dua sujud dan kedua duduk tahiyat. Kedua-dua jenis duduk ini menggerakkan tumit , pangkal peha, kelengkang, jari-jari kaki dan lain-lain. Dalam kita memberi salam juga kita gerakkan otot-otot leher tengkuk dan lain-lain. Kalau kita lihat dari dua perkara tersebut di atas iaitu mendapatkan oksigen yang istimewa dan gerak otot-otot yang semuanya ini sudah tentu akan memastikan kesihatan tubuh badan kita. 
Solat tahajud juga boleh menjauhkan penyakit buah pinggang yang selalu menyerang orang yang banyak tidur dan bangun lewat dari tidur malam.

Kajian dan fakta

Kajian saintifik dan fakta-fakta kebaikan solat menunjukkan ibadat itu bukan sahaja memberikan manfaat rohaniah tetapi juga manfaat fizikal dan mental apabila dilakukan dengan tekun serta postur yang betul.

Sekumpulan penyelidik bioperubatan dari Universiti Malaya (UM) telah membongkar fakta fakta positif kebaikan solat daripada sudut saintifik antaranya menurunkan kadar denyutan jantung, mengurangkan sakit pinggang, memperbaiki disfungsi ereksi (DE) serta aktifkan otot lantai pelvik.

Pakar Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Prof Dr Wan Azman Wan Ahmad dalam kajiannya menemui bahawa posisi sujud dalam solat dapat mengurangkan denyutan jantung sebanyak 10 kali seminit. Katanya, kadar denyutan jantung nominal semasa sujud adalah baik untuk kesihatan jantung khususnya dan kesihatan keseluruhan badan amnya.

"Seseorang yang mempunyai kadar denyutan jantung 80 kali seminit dan ke atas, berisiko tinggi mengalami serangan jantung serta darah tinggi," katanya kepada pemberita selepas perasmian Seminar Sains Solat Kebangsaan di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Beliau berkata pakar perubatan juga menasihatkan supaya pesakit jantung menjalankan senaman ringan selama 30 minit sehari namun tidak menyatakan bentuk senaman yang boleh dilakukan.

"Kami mendapati dengan mengamalkan solat sebanyak 12 rakaat sehari secara berturut turut boleh dijadikan senaman ringan itu," katanya.

Ketua Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Fakulti Kejuruteraan UM Prof Madya Dr Fatimah Ibrahim berkata pergerakan lazim solat boleh membantu mengurangkan sakit pinggang khususnya kepada wanita mengandung. Katanya, kajian ini telah dilakukan terhadap pesakit pinggang yang normal dan ibu mengandung serta di kalangan kaum Melayu, India dan Cina.

Dalam kajian itu, mendapati posisi rukuk dan sujud boleh dijadikan terapi kerana dapat membuka ruang antara spina 'spina canal' yang akan mengurangkan risiko penghimpitan urat saraf. "Bagi kaum Cina dan India, mereka hanya melakonkan posisi sembahyang dalam sesi terapi yang kita buat. Dalam tempoh sebulan, mereka telah menunjukkan ada pemulihan berlaku," katanya.

Dalam kajian lain, Dr Fatimah turut mendapati solat juga dapat memberikan kesan positif kepada seseorang yang menghidap penyakit DE. Sebelum ini, terdapat satu kajian mengenai senaman pengaktifan otot lantai pelvik yang boleh membantu melancarkan pengaliran darah dan mengurangkan masalah DE oleh penyelidik Van Kampen.

Dr Faridah berkata daripada kajian awal ini, terbukti bahawa postur semasa solat boleh memberikan kesan positif ke atas pesakit DE di mana pergerakan itu dapat mengaktifkan otot lantai pelvik.

"Kami telah menjalankan kajian ke atas dua pesakit DE dengan sesi terapi menunaikan solat selama satu bulan dan ia berjaya menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan terhadap pesakit," katanya.

Sumber: BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...